Monday, September 10, 2012

sEpuLuH iNi

10 September
Aku belum dapat tidur lagi. 
Puas aku bergolek ke sana sini. 
Cuba mencari kononnya sudut tidur yang ideal...tetapi

Buntu.

10 September
Terasa malas..untuk melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan.
Tetapi sibuk melihat kaca televisyen.
Merebus telur ayam untuk dimakan esok.
Hanya untuk melegakan fikiran.

10 September
Bukan tidak berminat..cuma
Ketahuilah hati ini amat mahukannya.
Tapi sesuatu harus dilakukan diri ini dahulu.
Untuk membuktikan...

10 September
Biarlah harapan aku pada diri ini.
Menjadi insan yang berguna hendaknya.
Punya keyakinan yang tinggi dan tidak mudah patah semangat.
Aku tahu itu kelemahanku..harus diperbaiki.

10 September
Moga sentiasa dalam rahmatNya.
LindunganNya.
Ku pohon ditunjukkan jalan-jalan ke SyurgaMu.

10 September
Benarkan aku lafazkan dengan hela ini-
SELAMAT HARI LAHIR DIRI...

priceless..

 

Wednesday, September 5, 2012

--

Maaf...

Blog ini masih lagi suram...dan makin gelap cahayanya...mungkin kerana hati si penulis melakarkan corak abstrak hitam di dalam blog ini..sekaligus menyakitkan hati-hati yang membaca.

Belum mampu untuk pulih sepenuhnya...bila cuba untuk dikeluarkan, serta itu jugalah semakin kuat hadirnya ia, cuba untuk menyuntik semula ingatan itu..

Aku lemah..

Bunyinya seperti aku sedang berputus harapan...mungkin.

Tapi tidak padaNya...kerana aku sentiasa sedar dan tahu, bergantung pada hakiki, hati tidak kan mati.

Cuma...

Kita terkadang sedar tentangnya, namun masih mencari yang ada di mata dunia...bukan pada mata hati.

Terima kasih kawan yang membantu. Menghidupkan kembali garisan ukiran senyumanku.

Biarkan liku ini aku lalui, tidak kan lari kerana aku tahu ini pengalaman yang harus aku hargai.

Masa...itulah yang aku perlukan...lagi.

Tuesday, September 4, 2012

-

Sakit dan pedih...tapi aku amat berharap biarlah masa yang mengembalikan segalanya.

Tiada siapa yang aku persalahkan.

Aku perlukan masa.

Sunday, August 26, 2012

PeLAnGi seLepAs hUJan

Pastikan ada pelangi tatkala hujan berlalu pergi...


Kata-kata hikmah yang penuh makna, menyatakan untuk kita sentiasa berharap yang terbaik di sebalik musibah dan mematangkan pemikiran untuk lebih positif.

Tapi persoalannya, 

Di mana harus dicari pelangi itu?

DAN

Apakah hujan akan terus berlalu dan tidak akan kembali?

Aku ingin membawa pembaca budiman untuk bersama, berfikir sebentar. Sememangnya dua persoalan ini akan terus bermain di minda sesiapa sahaja di kalangan kita. Nah, ini mungkin jawapannya...

Sungguh

Pelangi itu ada selepas hujan...tetapi tidak pada semua tempat ianya boleh dilihat. Samalah juga dengan hikmah di dalam setiap musibah yang menimpa kita, hikmahnya ada....cuma kita terkadang buta dan tidak mencarinya di tempat yang betul. 

Di mana?

Di tempat yang paling dalam dalam diri...hati

Di tempat yang paling ligat dalam diri...naluri

Di tempat yang paling nyata antara diri...Ilahi

Bila mana kita ditimpa musibah, tanamkan dalam hati bahawa semua yang berlaku ada hikmahnya, sertakan dengan naluri diri yang menyerahkan sepenuh keputusan kepada Ilahi yakni Allah yang satu. 

InsyaAllah...hasilnya lebih daripada yang kita boleh bayangkan.

Namun, 

Bila mana pula kita tahu yang hujan itu akan terus berlalu dan tidak mungkin kembali?

Jawapannya, tidak. 

Kita tidak akan tahu.

Tapi yang pasti bila ianya datang kembali, bersedialah untuk memayungi diri dengan usaha dan tawakkal kepada yang Satu supaya nanti dengan berkatNya kita akan berjumpa dengan pelangi yang diimpi.

Hehehe....dah macam ustaz pun ada. Macam berpantun penuh rima pun ada.

Ini sekada nasihat kepada mereka yang sedang dilanda musibah. Aku bercakap bagi pihak mengingatkan diri ini dan semua yang terbaca warkah digital ini.

Renung-renungkanlah ye pembaca semua. InsyaAllah kita akan lebih baik di masa akan datang.

Cuma kadang-kadang aku terfikir....jika kita tidak dilanda ujian...manakan mungkin kita mampu untuk bangkit dan menjadi lebih kuat.

=)

Saturday, August 25, 2012

moNoLoG peNdeK

Esok kerja...adoi.

Minta maaf tapi sebenarnya hati ini masih belum berada di dalam ruang kerja saya-yang-menurut-perintah lagi....haha.
Pendek kata masih di dalam angin hendak beraya... :)

Sekian~

Friday, August 24, 2012

SyaWaL taHUn iNi


Selamat menyambut syawal buat semua pembaca yang terlalu mahupun terpijak di blog ini. Mohon maaf atas segala kekasaran sepanjang kita bersama di dunia maya ini.

Syawal kali ini bermula tanpa atuk di sisi. Agak terkilan rasanya bila tidak dapat menatap wajah atuk buat kali terakhir. Dahulu sebelum perginya atuk, ada aku terfikir untuk pulang ke kampung, berjumpa dengannya..

Tapi itu cuma fikiran....tidak dizahirkan dalam perbuatan. Atuk telah pun pergi pada malam nisfu syaaban. Semoga rohnya di kalangan orang-orang yang beriman.

Raya disambut biasa. Seperti selalu, berjalan ke rumah sanak saudara. Cuma yang pastinya pada raya kali ini, aku rasakan ikatan kekeluargaan aku semakin dekat. Banyak perkara yang dibualkan bersama ayah. Banyak perkara yang di pakat bersama ayah...dan banyak perkara yang di gelakkan bersama ayah. 

Terkenal dengan sifat garangnya di waktu muda dahulu, ayah memang jarang dirapati. Apatah lagi bergurau dan bersembang rancak. Mungkin pada tahun ini merupakan titik tolak yang baharu. Hehe..

Kenalan juga turut hadir ke rumah sepanjang adanya aku di sana. (Oh lupa, sekarang dah balik ke tempat kerja...haha) Bolehlah aku tolong emak membuat segala juadah. Huhu...

Kakak yang walaupun dalam keadaan sebegitu, masih mampu tersenyum dan beria-ia untuk duduk di ruang tamu bersama menyambut tetamu, merasa kemeriahan kunjungan sanak saudara rakan dan taulan.  Lagi-lagi apabila dia tahu yang keluarga kamu nak datang. Kita dah macam saudara. Walaupun lain susur galurnya. Heh..

Hati aku gembira...tersenyum.

Namun tidak boleh langsung, sekalipun untuk aku melenyapkan akan realiti yang sedang dihadapi kakak. Saat diberitakan kebarangkalian yang akan terjadi padanya nanti, secepat itu jugalah terus aku terbayang keadaannya bila tiba tika dan waktu itu....sebagai lelaki sulung, aku meletakkan ini di bawah tanggungjawabku. Dia tidak perlu tahu dahulu. Luluh hatinya, punah semangatnya nanti. Biar aku dan keluarga kuat dahulu...untuk kami menguatkan dia.

Apalah guna hanya menangis dan bermuram durja...aku tahu ini ujianNya. Aku harus lebih kuat berusaha dan tawakkal. InsyaAllah..

Tahun ini juga, syawal yang membuatkan aku terus berfikir...apakah makna raya itu telah lenyap di hati-hati mereka yang diakatakan menyambutnya? 

Dikhabarkan raya ini eloklah kita bermaafan dan lupakan segala salah silap....tapi sepemerhatian aku, siap ada mereka yang bergaduh pada raya pertama lagi. Hanya disebabkan perkara yang amat remeh. Tak percaya pembaca boleh lihat sendiri dalam laman sosial paling hebat sekarang...FB. Twitter pun ada.

Di mana kemanisan raya kalau begitu wahai pembaca? Mana kemaafan sesama umat tanda kemenangan dan penyatuan kita?

Kelakar?
Entah.....

Sedih....aku juga tidak mustahil akan menjadi seperti itu kelak...biarlah ianya menjadi ingatan buat aku dan semua.


Aku maafkan segala salah sengaja atau tidak..
Halalkan segala pemberian ku kepada engkau..
Mohon engkau juga memaafkan salahku, sengaja atau tidak..
Dan halalkan segala pemberian engkau padaku..

Selamat berhari raya semua~


Saturday, June 30, 2012

waHai diaRi diGitaL

Salam buat para pembaca semua.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar untuk ayah. 

Buat pengetahuan para pembaca semua, baru-baru ini ayah dimasukkan ke IJN untuk rawatan susulan (masuk stent) dari perjumpaan dengan doktor yang lalu.
Segalanya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah.

Hari yang sama juga, lori yang digunakan pak ndak untuk mengangkat ikan untuk dijual pancit tayarnya di semenyih. Nasib baik waktu tu ikan belum diambil lagi. Maka dengan handsome aku pun pergi dengan niat untuk menghulur bantuan.

Memang gila la aku ni. Ingat ada super power ke apa. Haha..boleh nak buka nat tayar lori macam nak buka nat tayar kereta. Barehanded nak pegang palang T dan pulas. Memang buat macam mana pun tak dapat dibuka. Siap pergi beli WD40 lagi dekat Mydin berdekatan. Haha..

Akhir sekali, lori tu pun jalan la terhencut-hencut menuju ke rumah aku. Hehe...nak cari kedai memang susah la sebab hari ahad.

Dan ceritanya...malam tu badan aku sakit-sakit. Otot meraung...hihi. Mungkin aku kena angkat dumbell lebih berat supaya boleh cabut nat lori lain kali? Hihi... 

Minggu ni pula aku ada perlawanan robot...dan kami nampaknya kurang bernasib baik kali ini. Tak apa lah...memang dah dijangka melihatkan kepada persediaan dan aspek yang lain. Haha..

Em...hari ni aku saja lah meneroka Facebook lama sikit. Tengok-tengok rakan sekolah dulu....semua macam dah establish. Yang dah kahwin...ada anak comel-comel....yang dah berjaya...kaya, kereta mewah bagai..mengeluh sekejap hati aku..

Tipulah kalau aku tak terasa..ada la rasa macam aku tak ada apa-apa lagi. Hehe...kereta pun tak ada lagi. Sibuk la pakai motor yang patutnya dihantar servis di Shah Alam tapi tak hantar-hantar lagi. Hahaha...

Apapun aku kena kuatkan semangat. Apa yang berlaku ada jalan dan cara coraknya. Lagipun diikutkan aku ada perancangan yang aku dah fikir. Kena kuatkan semangat.

I have to istiqamah..insyaAllah.

Tak sampai sebulan yang lalu, sekali lagi aku jadi pengapit orang....seronok jadi pengapit. Hehe..tapi aku dah selalu sangat pakai baju melayu ni....orang kata nanti kahwin tak nampak seri. Aku ada la cadang nanti ada rezeki dan jodoh, kahwin nanti sebab nak bagi nampak seri, tak nak la pakai baju melayu. 

Tangkap gambar lepas kerja mengapit. Haha..

Pakai sut kamen rider. Boooooleh tak rasanya? Kih kih kih... =D

Sunday, May 27, 2012

brEaK

Hari ini tidak seindah hari-hari yang pernah aku lalui..

Malam ini tidak seceria malam-malam yang aku tempuhi..

Ligat kepala benak bermain memikirkan segala kekusutan yang berlaku. Antara yang pasti....dan kehendak diri.

Antara masa ini, lampau dan hadapan.

Walau nampak gayanya bercakap seperti seorang professor yang memikirkan masalah dunia, namun aku hanyalah insan yang sedang diulit kekusutan masalah antara sekeliling diri.

Tiada apa yang perlu diperincikan. Cukup untuk aku menyatakan di dalam blog ini bahawa aku sesungguhnya sangat sedang tertekan.

Tertekan dengan diri sendiri.

Ya, diri sendiri...itu sahaja. 

Mungkin ada patutnya aku mengambil cuti...membawa diri ke suatu tempat yang hanya memerlukan aku untuk mengagungkan kebesaran-Mu.

Jauh dari masalah...bukan lari dari masalah..tapi biarlah aku bertenang semula. Agar kembali rasional dalam membuat keputusan.

Biarpun ini cumalah monolog yang aku tuliskan untuk ingatan sendiri, bila mana suatu hari nanti aku menyingkap kembali entri-entri lama...agar aku sentiasa ketahui bahawa tika dan detik ini..

Aku manusia lemah.

Wednesday, May 9, 2012

KaKi BunYi PraK praK!!

Aku minat main tenis.

Hari-hari aku main tenis.

Kadang berdua, selalu berempat.

Tapi padan muka aku, semalam main bertiga.

Dan...kaki sudah salah mendarat...prak!!

Terseliuh sudah..jalan pun capik. Hehe...bengkak dekat buku lali. Tapi tak nak pergi urut sebab nanti takut tertendang tukang urut menggunakan kaki lagi sebelah dek kerana tak tahan sakitnya. Hehe..kantoi.

Maka penyelesaiannya, aku-

Tuam dengan air panas, sapu minyak panas. Pendek kata semua panas...dan aku pun semakin panas tak dapat main tenis hari ini.

Hahaha....tak apa lah. Ada la hikmahnya semua ini kan.

Buat pembaca semua, bersukanlah dengan cara yang selamat. Tapi kalau nak jadi tetapkan terjadi, redha dan ingat, sakit itu kan penghapus dosa-dosa kecil. Huhu..

Sekian.

Tuesday, May 1, 2012

HaRi peKerjA

Salam buat para pembaca semua.

1 Mei 2012.

Hari Pekerja. Atau orang putih panggil Labor Day.

Hari inilah yang ditunggu oleh mereka yang telah pun mempunyai kerjaya. Kenapa?

Katanya boleh duduk rumah, tenang-tenangkan fikiran...makan cikedis....dan tengok astro yang sedang membuka 130 salurannya di rumah secara santai. Hahaha..

Aku?

Aku bosan hari ni. 

Segala yang dirancang tergendala. Ingat nak keluarlah dengan rakan-rakan bujang ni. Mulanya kata nak pergi makan di seoul garden la, tengok wayang la....tapi satu pun tak jadi.

Gara-gara menunggu seorang lagi rakan aku ni balik dari bercuti.

Esok baharu dia balik. Hadoiiii...

Adalah cuba pergi Tesco tadi cari kerusi komputer. Tak ada!! Yang ada kerusi lipat macam ala-ala pengarah pilem tu. Huhu....nak buat apa.

Maka hari ini merupakan hari aku menjadi sura rumah. (sura rumah mengikut kamus aku adalah suri rumah bagi lelaki)

Duduk di rumah tengok astro. 

Huhu.. T_T

Sunday, April 29, 2012

waRkah seRai unTuk SemuT

Salam buat para pembaca semua. 

Moga sihat dan bertambah handsome dan cantik hendaknya. Huhu...

Petang tadi aku baharu sahaja mengemas bilik. Hehehe...

Saja nak khabaq mai. =)

Sebab utama mengemas bilik? Aku beli langsir dengan cadar baharu. Wuuhuuuu!!!

Hari tu ada sale dekat tempat yang aku selalu beli cadar ni, maka dipendekkan kisahnya aku pun TERpergi ke tempat itu dan TERbeli cadar serta langsir. Muwahahahaha...

Balik sahaja rumah, dengan semangatnya, serta keringat yang aku miliki aku siapkan perkakasan.....dan wooosh~

Habis semua habuk dilemparkan keluar masuk terus ke tong sampah. Hehe...elok pula waktu aku kemas bilik ni housemate aku boleh nak let go meja komputer dia ni. Aha...apa lagi, melihatkan saiz meja tu memang sesuai dengan bilik aku, dan seakan meja itu memanggil-manggil aku untuk menjadi tuan baharunya (cheewah), aku pun bersetuju untuk mengambil meja tersebut lah.

Dengan ini bertambah serilah bilik bujang aku ini. Huhu...

Cuma

Meja ini sedang aku guna, entah dari mana muncul pulak semut-semut halus ni. Tak banyak tapi rimas juga lah. Mana tidaknya, tengah guna laptop tiba-tiba terbunuh semut ni. 

Siapa suruh bermain di tempat jari aku menekan. Huhu...maka berbaulah jari aku.  Aiyak...

Tak tahan, aku pun ambil minyak serai wangi dan sapukan secara rata di sekeliling meja tersebut. Huhu...masalah hilang!!

Moga semut-semut halus tersebut dapat cari rumah baharu di tempat lain. Hehe..inilah warkah serai untuk semut. =)

Tapi sekarang bilik aku bau macam ternak serai daaaa...tiga ikat lima hinggit, tiga ikat lima hinggit!! haha....

Tuesday, April 24, 2012

LepToSpIRosiS

Salam buat para pembaca semua.

Aku agak sugul malam ini.

Menerima berita pemergian seorang sahabat yang sama-sama berjuang dalam rangkaian fasilitator. Jauh lebih muda usianya daripada aku, namun lebih disayangi Allah.

Dikhabarkan arwah terkena jangkitan kencing tikus atau leptospirosis selepas mandi di sungai (aku pun tak tahu butiran di mana). Pergi menghadap Ilahi selepas zohor..

Menatap gambarnya di facebook cukup untuk membuatkan hati ini hiba. Seorang yang cukup periang dan sangat sesuai perwatakannya sebagai seorang fasilitator, siapa menyangka hidupnya di dunia sesingkat ini.

Tetapi aku redha. 

Allah itu Maha Adil dan Maha Mengetahui.

Buat pembaca yang disayangi, biarlah aku berpesan untuk kebaikan:

Sekiranya dalam tempoh sebulan selepas anda berkunjung di tempat-tempat yang pernah terdapat kes leptospirosis atau ada mandi di sungai mahupun air terjun; dan anda demam, pergilah berjumpa doktor dan beritahu pada doktor yang anda ada pergi ke tempat-tempat tersebut.

Dengan ini doktor akan memberikan anda antibiotik yang sesuai. Pencegahan awal dapat membantu. Biarpun ketentuan Ilahi itu pasti, kita sebagai manusia berusahalah seadanya.

Untuk lebih info tentang leptospirosis ini, pembaca budiman boleh ke pautan ini:

http://www.majalahsains.com/2012/01/bahaya-wabak-kencing-tikus/

Bantulah menyebarkan info ini. 

Aku sayang para pembaca semua.

Peace.

Monday, April 23, 2012

meLihaT sUduT duGaAn

Salam buat para pembaca semua.

Moga sihat hendaknya dalam limpahan rahmat Allah.

Minggu ini merupakan permulaan minggu peperiksaan bagi pelajar di institusi aku, dan macam biasalah aku pula.....semakin gemuk. Aik, apa kaitan? Hehe....tak ada kaitan pun. Cuma nak beritahu yang aku semakin berisi. Perut makin meningkat naik dan pipi semakin sasa. Keh keh keh...

Dalam masa sebulan dua ini aku kerap balik rumah. Boleh dikatakan ada sahaja muka aku bila hujung minggu. Dah kalau namanya pun duduk rumah, sudah terang lagi bersuluh lah aku akan melakukan rutin seharian aku iaitu

Makan.

Makan.

Makan.

Tapi tak mengapalah yang penting semuanya baik-baik belaka. Hehe..

Hari ini mari kita bersembang tentang dugaan. Err...tak adalah kira macam bersembang sebab blog ini lebih kepada komunikasi sehala. Hehe...

Dugaan-

Allah tidak akan memberikan dugaan pada hamba-Nya jika dugaan itu, tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. 

Maksudnya, nak tak nak, mahu tidak mahu kita sebagai hamba-Nya kena dan perlu mencari jalan untuk mengharungi dugaan yang Allah berikan.

Cuba para pembaca yang budiman bayangkan...(letak dua jari dekat dahi, pejam mata...bayangkan...~)

Macam mana rupa dunia ini kalau tak wujud dugaan....jeng jeng jeng~

Haha...jawapannya, dunia robot. (Bukan dunia herbs tau...hehe)

Yup, tanpa dugaan dunia akan jadi ibarat robot. Tiada yang menarik terjadi. Semuanya berjalan dengan lancar. Bak kata orang putih "no ups and down bebeh". Hahaha..

Tidak akan ada dugaan hendak ke tempat kerja, tiada dugaan hendak beratur beli 'grill burger' di wangsa maju..hehe. Tiada dugaan untuk meminang anak dara orang...ececehhh. Semua akan menjadi terlalu lancar.

Dan bila manusia terlalu diulit dengan kesenangan, lupa pada Penciptanya dikhuatiri akan menjadi sangat mudah. Betul tak? Haha..

Jadi secara positif, dugaan itu diberikan untuk kita belajar menghargai

Dugaan itu diberikan untuk kita belajar mencintai.

Dugaan itu diberikan untuk kita belajar mematangkan diri.

Buat para pembaca semua,

Kalau tika ini anda sedang dilanda dugaan, mahupun ujian dalam hidup...ambil lah ia sebagai satu peluang. Peluang untuk menghargai diri dan mereka di sekeliling anda. Peluang mencintai rasa naluri dan perasaan orang lain..dan peluang untuk mematangkan pemikiran dan rasional diri.

Sejujurnya, nasihat ini untuk aku dan para pembaca. Segetir mana pun dugaan, pasti ada jalan penyelesaiannya...maka selagi tidak bertemu jalan tersebut, jangan engkau berhenti berharap dan mencuba...penting juga, jangan engkau

berhenti mengukir senyuman =)

Err...tak ada gambar senyuman dalam simpanan. Yang ini pun boleh la...sekurangnya buat pembaca tersenyum...kot. Haha..

Thursday, April 19, 2012

HAri INi

Salam buat para pembaca semua.

Moga sihat sentiasa hendaknya.

Hari ini ayah sudah dibenarkan keluar dari IJN. Alhamdulillah...bulan enam nanti datang balik ke sana untuk tahu keputusan imbasan kelmarin.

Samada boleh atau tidak salur tersebut dimasukkan 'stand' 'stent'. Kalau tak boleh, 'by pass' 'bypass' la jawabnya. Tapi aku harap janganlah kalau boleh sampai kena  'by pass' 'bypass'.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari ini juga kakak sudah memulakan rutin baharu. Cuba duduk dari keadaan baring dengan kudrat sendiri. Puas jugalah aku dan ibu meyakinkan dia untuk terus berusaha. Otot yang masih elok kalau tak diguna pakai akan hilang fungsinya dan semestinya dia akan menjadi lebih lemah.

Perancangan aku, biarlah dalam masa sebulan ini dia belajar duduk sendiri. Dah kuat pinggangnya nanti, baharu aku akan membawa kakak ke taman waktu pagi untuk latihan fasa seterusnya.

Kali ini, biarlah dia menanamkan cukup azam dan usaha untuk diri dia sendiri. Mengharapkan orang lain tidak membawa ke mana.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari ini juga, aku menyiapkan kerja aku yang tertangguh dek kerana kerap balik ke rumah pada bulan ini. Bukanlah aku ingin menyalahkan tanggungjawab aku kepada keluarga, tidak sama sekali. Tetapi ya, prestasi kerja aku sedikit merudum. Mungkin aku boleh diakatakan dalam fasa 'demoralize'. Hahaha...

Namun alhamdulillah, kerja tersebut siap...cukup untuk tidak menyusahkan rakan kerja lain. Harapnya. Haha..

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari ini juga aku melakukan rutin biasa aku apabila balik ke rumah. Hantar dan ambil adik pulang dari sekolah, membantu ibu menyidai baju yang telah dibasuh dan menjadi pemberi semangat utama buat ibu. Sentiasa =)

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sesungguhnya para pembaca, 

Hari ini entri ini ditulis bukanlah sebagai satu rungutan dan keluh kesah. 

Ini sememangnya apa yang dialami oleh aku. 

Selaku ketua rumah, anak lelaki sulung, abang dan adik...

Keluarga segalanya bagi aku.

Biarpun ujian itu berat, sekurangnya aku tahu Allah sayangkan kami.

Ada kalanya aku seakan tidak mampu....namun melihat ibu yang senantiasa tabah terus tersenyum di dalam pilu, aku katakan dengan tetap:

Hari ini, aku akan lebih kuat untuk keluarga

dan...

untuk ibu..

p/s: bukan mengadu cuma memberi inspirasi kepada yang perlu =)

Monday, April 16, 2012

sisipan 20

Aku tak boleh tidur...
Bila memikirkan bagaimana bila terlalu sayang,
Timbulnya rasa cemburu dan tidak tentu hala emosi...

Aku tidak boleh tidur...
Hanya kerana perkara biasa,
Boleh difikirkan yang buruk-buruk sampai tak senang duduk jadinya...

Aku tidak boleh tidur lagi...
Seakan dituduh tidak mempeduli dan menyayangi....

Hurm...

Aku masih tidak boleh tidur lagi...
Bila tahu ada yang menyayangi,
Tapi kadang-kadang tidak bertempat jaganya...

Aku masih tidak mampu untuk tidur lagi...
Bila terlalu banyak beban yang harus digalas,
Tak semena datang kata-kata darinya membuatkan aku seakan tidak berguna...

Tapi...

Aku sememangnya belum boleh tidur...
Selagi tidak diucapkan kata sayang kepadanya...

Kerana,

Walaupun kekadang terluka, aku tahu dia begitu kerana sayangkan aku...dan aku, sangat sayangkan dia.

Tentu.




Sunday, April 15, 2012

sisipan 19

Jatuh.
Tersungkur terjelepuk di lantai minda
Bingung kepada tiada kata
Hitam...
Pitam...
Kusam.

Mahunya di setiap sudut
Segenap jajahan dipenuhi beban
Jawapan yang perlu ditanggung berat...
Melemahkan...

Lantaran hati mulai mati
Berpaksi pada tiada hakiki
Inilah natijah pada yang jadi
Terlopong ternganga tiada isi
Tertanam sepi...

Lihat ke atas cuba mengintai
Imbauan cahaya pengganti sukma
Tanpa usaha tidakkan usai
Kosong tidakkan semenanya tertanam

Hidup bangkit..
Bina kembali kekuatan diri
Resolusi hanya pada yang hakiki
Moga mimpi nanti pasti
Menjadi realiti sekeping hati..






Tuesday, April 10, 2012

aWan naNO negaTiF

Salam buat para pembaca semua. 

Moga sentiasa sihat dalam rahmat-Nya.

Pernah tak para pembaca semua terfikir tentang hidup masing-masing? Ye la, tentang betapa beruntungnya orang lain berbanding kita....atau mungkin betapa beruntungnya kita berbanding orang lain.

Aha....itu dua perkara yang berbeza ya. Jadi persoalan yang perlu dijawab oleh para pembaca sekarang, yang mana satu LEBIH banyak difikirkan? Samada untungnya orang lain berbanding kita, atau untungnya kita berbanding orang lain?

Hehe....kalau tanya pada aku, jujur sejujurnya aku akui lebih banyak memikirkan tentang betapa untungnya orang lain berbanding aku. Hurm...mungkin ada pembaca di luar sana yang turut mengangguk mengiakan perkara ini.

Yup, semestinya perkara ini akan terlintas; tentang untungnya orang itu, untungnya orang ini...untungnya orang-orang...eh orang-orang pun boleh ke? Hehe...gurau-gurau manja dengan pembaca sekejap. Huhu...

Perasaan melihat bahawa orang lain lebih beruntung dari kita lebih kuat bila mana kita sedang di landa dugaan...tatkala di terjah kesusahan, waktu dan tika itulah kita akan mula melihat manusia di sekeliling...yang katanya lebih beruntung.

Tapi sebenar-benarnya.....betulkah orang yang kita lihat selalu gembira itu, yang bahagia bersama insan tersayang itu lebih beruntung daripada kita? Mereka juga tentu ada masalah yang kita tidak ketahui...apa yang kita nampak cuma luaran..

Ikhlasnya, apabila aku melihat rakan taulan yang dahulunya hingus bersama-sama, kini telah jauh maju bersama keluarga sendiri dan kekayaan yang telah dimiliki...kadang-kadang terdetik perasaan kosong...iri hati...ada tapi berada nun jauh di sudut hati.

Perasaan itu yang membuatkan aku berfikir tentang keadaan aku sekarang, perkara yang mungkin berlaku masa hadapan...apa akan terjadi pada aku nanti....dan tentunya perbandingan diri aku yang serba-serbi kekurangan dengan mereka yang telah pun terbang ke awan.

Bila ini berlaku, aku gerenti kalau ada para pembaca yang turut pernah merasakan perkara ini pasti bersetuju jika aku katakan yang waktu inilah perkara-perkara negatif mula mengorak langkah di dalam membran-membran otak...menyuntik kesangsian sekaligus melemahkan semangat dengan apa yang sedang kita hadapi.



BERHENTI!!!!



SERIUS...BERHENTI BERFIKIR!!



ENAM SAAT....berhenti berfikir.

Taaaarik nafas dalam-dalam.....beristighfarlah....dan exhale~

Hehe....kenapa tiba-tiba kena berhenti?

Jeng jeng jeng......ini sebab musababnya..

Sebab kalau kita teruskan juga, kita sebenarnya hanya memberikan tekanan pada diri sendiri...yang mana akan menyebabkan dan mencetuskan entiti kemurungan dalam diri kita sendiri.

Tatkala itu berlaku, sudah tentu hidup akan dirasakan sangat-sangat tidak hebat. Hidup dirasakan sangat-sangat tidak adil. Hidup dirasakan sangat-sangat tidak sempurna.

Bila ini berlaku, jelas boleh membuatkan kita ibarat tidak bersyukur dengan apa yang telah Allah beri dan pinjamkan kepada kita.

Yup, betul, aku setuju jika ada yang mengatakan bahawa dugaan setiap orang adalah berbeza...dan aku setuju jika ada yang mengatakan "kau mana tahu kau tak alami benda ini".

Tetapi, itulah cantiknya manusia wahai para pembaca...jika semua orang mengalami perkara atau musibah yang sama, cuba bagi tahu aku siapa yang akan menenangkan hati kita di kala kesedihan? Dah kalau semua waktu tu tengah dilanda masalah sama....siapa yang nak berempati dengan kita? 

Siapa yang nak membantu menenangkan kita?

Hehe....dan lagi satu perkara, bila rasa diri tengah berada di ambang kenegatifan yang tinggi (akibat asyik layan dok kata orang tu lagi beruntung, orang tu lagi best hidup dia and such), cepat-cepat cari balik ke dalam diri anda kekuatan anda. Jangan biarkan diri diselubungi misteri...eh negatif. Haha...

Perkara ini aku bangkitkan sebagai peringatan kepada aku dan pembaca yang budiman. Supaya kita sentiasa cuba untuk berfikir positif...dan ingat, bergantunglah anda kepada yang hakiki supaya hati kita ini tidak mati....bergantunglah kuat pada Allah S.W.T....ehehehe..macam ustaz.

Aku menceritakan perkara ini bukan kerana peristiwa ayah aku sahaja...tapi berdasarkan pengalaman dugaan yang aku telah alami sepanjang hampir 7 tahun. Rasanya belum waktunya untuk diceritakan lagi. Apapun, jika kita rasa kita susah, lihatlah sebenarnya ada yang lebih susah. 

Macam aku, keluarga merupakan sumber kekuatan untuk aku terus tersenyum dan positif di dalam menghadapi dugaan ini...dan tentunya, masakan ibu itu merupakan ubat terbaik bagi hati jiwa aku. Huhuhuhu...

Buat para pembaca yang disayangi,

Belajarlah untuk menerima apa yang datang, dengan jiwa hati yang tenang...teruskan senyuman anda kerana jika ia tidak mampu menjadi penawar untuk anda, ia mungkin boleh menjadi penawar untuk mereka yang melihat...dan nanti mereka pula boleh menjadi penawar untuk anda. Hehe...faham ke tu?




Sunday, April 8, 2012

aPriL yaNg heBaT

Salam buat para pembaca semua.

Harap semuanya sihat hendaknya.

Sebab nama blog ini Suara Kehidupanku, maka dah tentulah banyak yang diceritakan di sini adalah hasil idea benak penulis tetap blog ini...perjalanan dan corak pemikiran aku. Hehe.

Hujung Mac baru-baru ini, institusi aku ada mengadakan perkemahan pemantapan gaya belajar dan jati diri. Alhamdulillah aku menjadi salah seorang AJK bertindak. Tapi itu bukan cerita utama kali ini, aha....mesti para pembaca suspen kan. Haha...untuk menambah lebih suspen, apa kata kalau aku menceritakan kisah ini dalam bentuk penceritaan yang agak berbunga.

Hehe...walaupun tak berapa pandai tapi aku cubalah ye.

Ceritanya macam ini....

Pada hari Sabtu dua minggu yang lepas, memandangkan pada malam itu aku perlu memberikan input kepada peserta dalam satu slot yang telah direncanakan, maka perlahan-lahan aku mula mengorak langkah....menuju ke sebuah wakaf di bahagian belakang tapak perkemahan bagi menulis intipati slot nanti.

Namun, rasa tidak sedap hati yang memang sudah bermula sejak dari sebelum aku sampai di sini semakin kuat, tetapi...

"Ah....biarkan..." rintih hatiku cuba menenangkan otak yang semakin ligat melilau menyongsang arah asal tujuanku ke wakaf tadi.

Sebaik melabuhkan punggung di tapak lantai wakaf, jelas kelihatan daun-daun kering berguguran satu persatu ditiup angin yang makin kuat deruannya. Nampaknya seakan hari mahu hujan di malam nanti.

Aku menghela nafas panjang....

Di tanganku kemas sebatang pen dan sehelai kertas untuk coretan idea di malam nanti. Cukuplah sehelai kertas, slot hanya setengah jam. Isi satu atau dua sudah memadai. 

Secara tiba-tiba...lagu dari telefon bimbitku pantas bermain.

"Hoh, tekejuk kawe boh.." (entah bila pandai kecek klate ni...haha)

Di hujung talian jelas suara ibu tersayang. Aku tersenyum. Pertanyaan makankah belum, tengah buat apa menjadi rutin biasa dalam perbualan kami.

"Ayah kau masuk hospital ni."

 

Bingung...



Kosong...



Tergamam...



"Hah??!! Kenapa??!!" Nada terkejut dilontarkan aku seakan tidak percaya.

Namun para pembaca, itulah ibu. Sentiasa tahu bila dan bagaimana untuk menenangkan. 

"Kau tak payah la risau sangat. Ayah kau mengadu sakit dada pagi tadi, mak bawa pergi klinik. Lepas tu diorang minta refer hospital.  Doktor check, terus kena pantau dekat CCU (singkatan untuk Coronary Care Unit)."

Memang ibu terbaik. Kata-kata macam tu dah cukup untuk membuatkan degupan jantungku kembali normal. Adrenalin kembali ke rutin biasa. Huhu..

Maka selepas selesai slot aku pada malam itu, aku terus bergegas pulang ke rumah keluarga tercinta.


Alhamdulillah, rahmat itu milik Allah.


Ayah masih segak, macam anak dia. Boleh bergurau dan siap boleh buat permintaan nak makan epal hijau walaupun dekat katil dan ada kiwi, prune dan pear. Haha...

Biarpun luaran ayah kelihatan sihat, doktor yang merawat memberitahu perkara sebenar...

Terdapat saluran yang tersumbat di dalam jantung ayah...dan kalau diikutkan sebenarnya penyakit ayah agak serius cuma ayah hanya mampu merasa sakit dada akibat deria rasa sensitifnya sudah lemah. 


Dalam erti kata lain, sakit ayah teruk tapi ayah rasa macam sakit biasa.


Untuk itu, ayah perlu dibawa ke IJN untuk pemeriksaan seterusnya. 

Aku masih bersyukur atas apa yang terjadi. Doktor mengatakan bahawa rokok juga merupakan salah satu faktor utama kenapa deria sensitif ayah lemah. 

Bermula dari dimasukkan ke wad, ayah tidak lagi merokok...hehe. 

Mungkin masih terlalu awal untuk aku katakan yang ayah tidak akan merokok lagi, tapi buat masa ini aku cukup bersyukur atas apa yang berlaku.

Bukan gembira kerana ayah sakit, tetapi gembira kerana ayah masih diberi peluang untuk hidup lebih sihat. Ajal maut adalah ketentuan Allah...dan semestinya sebagai anak aku mengharapkan sentiasa dalam doa untuk keluargaku panjang umur dan diampunkan dosa segala.

Bagi aku, insyaAllah ini menandakan lembaran baru untuk ayah aku. Lembaran yang sihat!! 

Huhu....khamis ini aku akan bersama ayah ke IJN. Doakan kami yang terbaik ye para pembaca.

Ini gambar nak tunjuk yang aku gembira...haha lama rasanya tak ambil gambar sendiri.
Terima kasih ALLAH kerana memberikan saya permulaan april yang hebat!! 

p/s: aik....mana teknik penceritaan yang dramatis tadi? lenyap di tengah jalan...haha

Friday, March 16, 2012

AkU roBoT

Salam buat para pembaca semua.

Harap sihat belaka hendaknya ya.

Baiklah, cerita kali ini baharu sahaja berlaku hujung bulan dua hari tu. Pertandingan MURoC atau nama panjangnya Malaysia University Robot Competitions.

Masih ingat lagi aku bila mana pada penghujung tahun 2011, surat jemputan ke pertandingan diterima jabatan dan aku merupakan antara nama yang disebut untuk menerajui pasukan kali ini.

Haissshh.....masakan ayam disuruhnya menjadi helang di langit.

Terdapat dua perkara yang aku fikirkan ketika itu:

1. Kemampuan aku sebagai pengurus.

2. Komitmen staf dan pelajar.

Tapi itulah kan para pembaca, sebab aku ni memang minat robot, maka Saya Yang Menurut Perintah la...haha.

Proses yang paling kritikal merupakan proses persediaan pelajar di mana kami barisan staf perlu menghadkan pelajar yang terlibat dan memilih mereka yang betul-betul komited.

Masalahnya....biasa la pada mulanya pelajar bila ditemuduga, awalnya sangat bersemangat. Sanggup mendaki gunung yang tinggi untuk mengambil walau sebiji nat. Sanggup meredah lautan bergelora mahupun menyelam di laut dalam untuk mendapatkan sebiji relay. Hehe..

Tapi.......hakikatnya....

Berdasarkan pengalaman aku....rata-ratanya kecundang di suku jalan. (tak sampai tengah pun lagi...huhu). Hanyalah hangat-hangat tahi ayam.

Itulah sebabnya pemilihan ini sangat kritikal sebab kalau tidak siapa yang perlu siapkan robot tu?

Suasana pertandingan paintball robot

Alhamdulillah, pelajar yang dipilih kali ini sangat memberikan komitmen dan begitu komited dalam kerja. Apa yang membuatkan aku senang dengan mereka adalah sikap mereka yang rasional dan boleh menerima teguran. Sebagai contoh bila mana aku menegur mereka tentang kelewatan datang ke bengkel....esoknya....zup!!! Berdiri tegak melolong depan bengkel tepat! Hahaha....

Barisan staf yang membantu juga sangat komited. Sanggup bersama pelajar sehingga ke pukul 3, 4 pagi semata-mata untuk troubleshoot masalah robot. Hehe...terima kasih kawan-kawan. Mata sepanjang sebulan terakhir sebelum pertandingan semua merah-merah. Huhu...

 
Kerjasama!! Dah macam wonderpet. hehe

Hurm....kenapa aku cerita semua ini ya?

Sebab......

Institusi kami dapat tempat ketiga dalam kategori paintball robot!!! Yes yes yes!!! Nak riak ni!!! Hahahaha....

Tak ada la niat nak riak, sebenarnya aku amat teruja dapat nombor tiga. Para pembaca bayangkanlah, kami bertanding bersama universiti-universiti gergasi seperti UPM, UniMAP dan UTHM. Mereka semua ini memang terkenal dengan pendominasian kategori ini. Hehe...sebagai sebuah politeknik, rasanya macam underdog wooo...

Kami pun tak sangka rezeki Allah nak bagi tahun ini sampai naik pentas. Alhamdulillah.

Sememangnya ini merupakan antara kenangan terindah aku di sini. Rasa sangat bangga bila melihat anak didik teruja dan terukir senyuman dek kerana segala penat lelah mereka terbayar.

Terima kasih kepada rakan staf yang membantu....anak didik yang komited dan lucu-lucu, si dia yang memberi aku waktu lalu dan paling utama Allah yang ada membantu selalu.

\(^;^)/

Hehe...sangat gembira!!


Tuesday, March 13, 2012

7 buLan LeBih

Salam buat para pembaca...mahupun yang terbaca. Hehe..

Dalam diam, dah hampir 7 bulan aku tak menulis dalam blog ni...dan sedar tak sedar dah 7 bulan juga lah aku bertahan mata dengan laptop lama yang mana monitornya sakit tua...huhu.

Apapun, alhamdulillah aku baru dapat laptop baharu semalam. Yes!!


Alamak lupa cabut pelekat...hehe...riak ni...astaghfirullah~

Tapi itu la...bila kita dah lama tak buka blog, kemahiran menulis pun akan merudum. Padan muka aku.

Sebagai langkah pertama untuk kembali aktif berblog, aku mulakan dengan penukaran semula wajah blog aku. Hehe...kira macam penstrukturan semula la. Saja nak cari semangat baharu.

Kalau dulu hitam, sekarang warnanya lebih tenang...tak tahulah kalau para pembaca tengok sakit mata tapi aku tengok tenang ja. huhu.

Rasanya itu saja untuk post kali ini. Bahasa aku pun dah tunggang langgang. Haha...jumpa lagi.