Thursday, April 19, 2012

HAri INi

Salam buat para pembaca semua.

Moga sihat sentiasa hendaknya.

Hari ini ayah sudah dibenarkan keluar dari IJN. Alhamdulillah...bulan enam nanti datang balik ke sana untuk tahu keputusan imbasan kelmarin.

Samada boleh atau tidak salur tersebut dimasukkan 'stand' 'stent'. Kalau tak boleh, 'by pass' 'bypass' la jawabnya. Tapi aku harap janganlah kalau boleh sampai kena  'by pass' 'bypass'.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari ini juga kakak sudah memulakan rutin baharu. Cuba duduk dari keadaan baring dengan kudrat sendiri. Puas jugalah aku dan ibu meyakinkan dia untuk terus berusaha. Otot yang masih elok kalau tak diguna pakai akan hilang fungsinya dan semestinya dia akan menjadi lebih lemah.

Perancangan aku, biarlah dalam masa sebulan ini dia belajar duduk sendiri. Dah kuat pinggangnya nanti, baharu aku akan membawa kakak ke taman waktu pagi untuk latihan fasa seterusnya.

Kali ini, biarlah dia menanamkan cukup azam dan usaha untuk diri dia sendiri. Mengharapkan orang lain tidak membawa ke mana.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari ini juga, aku menyiapkan kerja aku yang tertangguh dek kerana kerap balik ke rumah pada bulan ini. Bukanlah aku ingin menyalahkan tanggungjawab aku kepada keluarga, tidak sama sekali. Tetapi ya, prestasi kerja aku sedikit merudum. Mungkin aku boleh diakatakan dalam fasa 'demoralize'. Hahaha...

Namun alhamdulillah, kerja tersebut siap...cukup untuk tidak menyusahkan rakan kerja lain. Harapnya. Haha..

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari ini juga aku melakukan rutin biasa aku apabila balik ke rumah. Hantar dan ambil adik pulang dari sekolah, membantu ibu menyidai baju yang telah dibasuh dan menjadi pemberi semangat utama buat ibu. Sentiasa =)

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sesungguhnya para pembaca, 

Hari ini entri ini ditulis bukanlah sebagai satu rungutan dan keluh kesah. 

Ini sememangnya apa yang dialami oleh aku. 

Selaku ketua rumah, anak lelaki sulung, abang dan adik...

Keluarga segalanya bagi aku.

Biarpun ujian itu berat, sekurangnya aku tahu Allah sayangkan kami.

Ada kalanya aku seakan tidak mampu....namun melihat ibu yang senantiasa tabah terus tersenyum di dalam pilu, aku katakan dengan tetap:

Hari ini, aku akan lebih kuat untuk keluarga

dan...

untuk ibu..

p/s: bukan mengadu cuma memberi inspirasi kepada yang perlu =)

Monday, April 16, 2012

sisipan 20

Aku tak boleh tidur...
Bila memikirkan bagaimana bila terlalu sayang,
Timbulnya rasa cemburu dan tidak tentu hala emosi...

Aku tidak boleh tidur...
Hanya kerana perkara biasa,
Boleh difikirkan yang buruk-buruk sampai tak senang duduk jadinya...

Aku tidak boleh tidur lagi...
Seakan dituduh tidak mempeduli dan menyayangi....

Hurm...

Aku masih tidak boleh tidur lagi...
Bila tahu ada yang menyayangi,
Tapi kadang-kadang tidak bertempat jaganya...

Aku masih tidak mampu untuk tidur lagi...
Bila terlalu banyak beban yang harus digalas,
Tak semena datang kata-kata darinya membuatkan aku seakan tidak berguna...

Tapi...

Aku sememangnya belum boleh tidur...
Selagi tidak diucapkan kata sayang kepadanya...

Kerana,

Walaupun kekadang terluka, aku tahu dia begitu kerana sayangkan aku...dan aku, sangat sayangkan dia.

Tentu.




Sunday, April 15, 2012

sisipan 19

Jatuh.
Tersungkur terjelepuk di lantai minda
Bingung kepada tiada kata
Hitam...
Pitam...
Kusam.

Mahunya di setiap sudut
Segenap jajahan dipenuhi beban
Jawapan yang perlu ditanggung berat...
Melemahkan...

Lantaran hati mulai mati
Berpaksi pada tiada hakiki
Inilah natijah pada yang jadi
Terlopong ternganga tiada isi
Tertanam sepi...

Lihat ke atas cuba mengintai
Imbauan cahaya pengganti sukma
Tanpa usaha tidakkan usai
Kosong tidakkan semenanya tertanam

Hidup bangkit..
Bina kembali kekuatan diri
Resolusi hanya pada yang hakiki
Moga mimpi nanti pasti
Menjadi realiti sekeping hati..






Tuesday, April 10, 2012

aWan naNO negaTiF

Salam buat para pembaca semua. 

Moga sentiasa sihat dalam rahmat-Nya.

Pernah tak para pembaca semua terfikir tentang hidup masing-masing? Ye la, tentang betapa beruntungnya orang lain berbanding kita....atau mungkin betapa beruntungnya kita berbanding orang lain.

Aha....itu dua perkara yang berbeza ya. Jadi persoalan yang perlu dijawab oleh para pembaca sekarang, yang mana satu LEBIH banyak difikirkan? Samada untungnya orang lain berbanding kita, atau untungnya kita berbanding orang lain?

Hehe....kalau tanya pada aku, jujur sejujurnya aku akui lebih banyak memikirkan tentang betapa untungnya orang lain berbanding aku. Hurm...mungkin ada pembaca di luar sana yang turut mengangguk mengiakan perkara ini.

Yup, semestinya perkara ini akan terlintas; tentang untungnya orang itu, untungnya orang ini...untungnya orang-orang...eh orang-orang pun boleh ke? Hehe...gurau-gurau manja dengan pembaca sekejap. Huhu...

Perasaan melihat bahawa orang lain lebih beruntung dari kita lebih kuat bila mana kita sedang di landa dugaan...tatkala di terjah kesusahan, waktu dan tika itulah kita akan mula melihat manusia di sekeliling...yang katanya lebih beruntung.

Tapi sebenar-benarnya.....betulkah orang yang kita lihat selalu gembira itu, yang bahagia bersama insan tersayang itu lebih beruntung daripada kita? Mereka juga tentu ada masalah yang kita tidak ketahui...apa yang kita nampak cuma luaran..

Ikhlasnya, apabila aku melihat rakan taulan yang dahulunya hingus bersama-sama, kini telah jauh maju bersama keluarga sendiri dan kekayaan yang telah dimiliki...kadang-kadang terdetik perasaan kosong...iri hati...ada tapi berada nun jauh di sudut hati.

Perasaan itu yang membuatkan aku berfikir tentang keadaan aku sekarang, perkara yang mungkin berlaku masa hadapan...apa akan terjadi pada aku nanti....dan tentunya perbandingan diri aku yang serba-serbi kekurangan dengan mereka yang telah pun terbang ke awan.

Bila ini berlaku, aku gerenti kalau ada para pembaca yang turut pernah merasakan perkara ini pasti bersetuju jika aku katakan yang waktu inilah perkara-perkara negatif mula mengorak langkah di dalam membran-membran otak...menyuntik kesangsian sekaligus melemahkan semangat dengan apa yang sedang kita hadapi.



BERHENTI!!!!



SERIUS...BERHENTI BERFIKIR!!



ENAM SAAT....berhenti berfikir.

Taaaarik nafas dalam-dalam.....beristighfarlah....dan exhale~

Hehe....kenapa tiba-tiba kena berhenti?

Jeng jeng jeng......ini sebab musababnya..

Sebab kalau kita teruskan juga, kita sebenarnya hanya memberikan tekanan pada diri sendiri...yang mana akan menyebabkan dan mencetuskan entiti kemurungan dalam diri kita sendiri.

Tatkala itu berlaku, sudah tentu hidup akan dirasakan sangat-sangat tidak hebat. Hidup dirasakan sangat-sangat tidak adil. Hidup dirasakan sangat-sangat tidak sempurna.

Bila ini berlaku, jelas boleh membuatkan kita ibarat tidak bersyukur dengan apa yang telah Allah beri dan pinjamkan kepada kita.

Yup, betul, aku setuju jika ada yang mengatakan bahawa dugaan setiap orang adalah berbeza...dan aku setuju jika ada yang mengatakan "kau mana tahu kau tak alami benda ini".

Tetapi, itulah cantiknya manusia wahai para pembaca...jika semua orang mengalami perkara atau musibah yang sama, cuba bagi tahu aku siapa yang akan menenangkan hati kita di kala kesedihan? Dah kalau semua waktu tu tengah dilanda masalah sama....siapa yang nak berempati dengan kita? 

Siapa yang nak membantu menenangkan kita?

Hehe....dan lagi satu perkara, bila rasa diri tengah berada di ambang kenegatifan yang tinggi (akibat asyik layan dok kata orang tu lagi beruntung, orang tu lagi best hidup dia and such), cepat-cepat cari balik ke dalam diri anda kekuatan anda. Jangan biarkan diri diselubungi misteri...eh negatif. Haha...

Perkara ini aku bangkitkan sebagai peringatan kepada aku dan pembaca yang budiman. Supaya kita sentiasa cuba untuk berfikir positif...dan ingat, bergantunglah anda kepada yang hakiki supaya hati kita ini tidak mati....bergantunglah kuat pada Allah S.W.T....ehehehe..macam ustaz.

Aku menceritakan perkara ini bukan kerana peristiwa ayah aku sahaja...tapi berdasarkan pengalaman dugaan yang aku telah alami sepanjang hampir 7 tahun. Rasanya belum waktunya untuk diceritakan lagi. Apapun, jika kita rasa kita susah, lihatlah sebenarnya ada yang lebih susah. 

Macam aku, keluarga merupakan sumber kekuatan untuk aku terus tersenyum dan positif di dalam menghadapi dugaan ini...dan tentunya, masakan ibu itu merupakan ubat terbaik bagi hati jiwa aku. Huhuhuhu...

Buat para pembaca yang disayangi,

Belajarlah untuk menerima apa yang datang, dengan jiwa hati yang tenang...teruskan senyuman anda kerana jika ia tidak mampu menjadi penawar untuk anda, ia mungkin boleh menjadi penawar untuk mereka yang melihat...dan nanti mereka pula boleh menjadi penawar untuk anda. Hehe...faham ke tu?




Sunday, April 8, 2012

aPriL yaNg heBaT

Salam buat para pembaca semua.

Harap semuanya sihat hendaknya.

Sebab nama blog ini Suara Kehidupanku, maka dah tentulah banyak yang diceritakan di sini adalah hasil idea benak penulis tetap blog ini...perjalanan dan corak pemikiran aku. Hehe.

Hujung Mac baru-baru ini, institusi aku ada mengadakan perkemahan pemantapan gaya belajar dan jati diri. Alhamdulillah aku menjadi salah seorang AJK bertindak. Tapi itu bukan cerita utama kali ini, aha....mesti para pembaca suspen kan. Haha...untuk menambah lebih suspen, apa kata kalau aku menceritakan kisah ini dalam bentuk penceritaan yang agak berbunga.

Hehe...walaupun tak berapa pandai tapi aku cubalah ye.

Ceritanya macam ini....

Pada hari Sabtu dua minggu yang lepas, memandangkan pada malam itu aku perlu memberikan input kepada peserta dalam satu slot yang telah direncanakan, maka perlahan-lahan aku mula mengorak langkah....menuju ke sebuah wakaf di bahagian belakang tapak perkemahan bagi menulis intipati slot nanti.

Namun, rasa tidak sedap hati yang memang sudah bermula sejak dari sebelum aku sampai di sini semakin kuat, tetapi...

"Ah....biarkan..." rintih hatiku cuba menenangkan otak yang semakin ligat melilau menyongsang arah asal tujuanku ke wakaf tadi.

Sebaik melabuhkan punggung di tapak lantai wakaf, jelas kelihatan daun-daun kering berguguran satu persatu ditiup angin yang makin kuat deruannya. Nampaknya seakan hari mahu hujan di malam nanti.

Aku menghela nafas panjang....

Di tanganku kemas sebatang pen dan sehelai kertas untuk coretan idea di malam nanti. Cukuplah sehelai kertas, slot hanya setengah jam. Isi satu atau dua sudah memadai. 

Secara tiba-tiba...lagu dari telefon bimbitku pantas bermain.

"Hoh, tekejuk kawe boh.." (entah bila pandai kecek klate ni...haha)

Di hujung talian jelas suara ibu tersayang. Aku tersenyum. Pertanyaan makankah belum, tengah buat apa menjadi rutin biasa dalam perbualan kami.

"Ayah kau masuk hospital ni."

 

Bingung...



Kosong...



Tergamam...



"Hah??!! Kenapa??!!" Nada terkejut dilontarkan aku seakan tidak percaya.

Namun para pembaca, itulah ibu. Sentiasa tahu bila dan bagaimana untuk menenangkan. 

"Kau tak payah la risau sangat. Ayah kau mengadu sakit dada pagi tadi, mak bawa pergi klinik. Lepas tu diorang minta refer hospital.  Doktor check, terus kena pantau dekat CCU (singkatan untuk Coronary Care Unit)."

Memang ibu terbaik. Kata-kata macam tu dah cukup untuk membuatkan degupan jantungku kembali normal. Adrenalin kembali ke rutin biasa. Huhu..

Maka selepas selesai slot aku pada malam itu, aku terus bergegas pulang ke rumah keluarga tercinta.


Alhamdulillah, rahmat itu milik Allah.


Ayah masih segak, macam anak dia. Boleh bergurau dan siap boleh buat permintaan nak makan epal hijau walaupun dekat katil dan ada kiwi, prune dan pear. Haha...

Biarpun luaran ayah kelihatan sihat, doktor yang merawat memberitahu perkara sebenar...

Terdapat saluran yang tersumbat di dalam jantung ayah...dan kalau diikutkan sebenarnya penyakit ayah agak serius cuma ayah hanya mampu merasa sakit dada akibat deria rasa sensitifnya sudah lemah. 


Dalam erti kata lain, sakit ayah teruk tapi ayah rasa macam sakit biasa.


Untuk itu, ayah perlu dibawa ke IJN untuk pemeriksaan seterusnya. 

Aku masih bersyukur atas apa yang terjadi. Doktor mengatakan bahawa rokok juga merupakan salah satu faktor utama kenapa deria sensitif ayah lemah. 

Bermula dari dimasukkan ke wad, ayah tidak lagi merokok...hehe. 

Mungkin masih terlalu awal untuk aku katakan yang ayah tidak akan merokok lagi, tapi buat masa ini aku cukup bersyukur atas apa yang berlaku.

Bukan gembira kerana ayah sakit, tetapi gembira kerana ayah masih diberi peluang untuk hidup lebih sihat. Ajal maut adalah ketentuan Allah...dan semestinya sebagai anak aku mengharapkan sentiasa dalam doa untuk keluargaku panjang umur dan diampunkan dosa segala.

Bagi aku, insyaAllah ini menandakan lembaran baru untuk ayah aku. Lembaran yang sihat!! 

Huhu....khamis ini aku akan bersama ayah ke IJN. Doakan kami yang terbaik ye para pembaca.

Ini gambar nak tunjuk yang aku gembira...haha lama rasanya tak ambil gambar sendiri.
Terima kasih ALLAH kerana memberikan saya permulaan april yang hebat!! 

p/s: aik....mana teknik penceritaan yang dramatis tadi? lenyap di tengah jalan...haha

Friday, March 16, 2012

AkU roBoT

Salam buat para pembaca semua.

Harap sihat belaka hendaknya ya.

Baiklah, cerita kali ini baharu sahaja berlaku hujung bulan dua hari tu. Pertandingan MURoC atau nama panjangnya Malaysia University Robot Competitions.

Masih ingat lagi aku bila mana pada penghujung tahun 2011, surat jemputan ke pertandingan diterima jabatan dan aku merupakan antara nama yang disebut untuk menerajui pasukan kali ini.

Haissshh.....masakan ayam disuruhnya menjadi helang di langit.

Terdapat dua perkara yang aku fikirkan ketika itu:

1. Kemampuan aku sebagai pengurus.

2. Komitmen staf dan pelajar.

Tapi itulah kan para pembaca, sebab aku ni memang minat robot, maka Saya Yang Menurut Perintah la...haha.

Proses yang paling kritikal merupakan proses persediaan pelajar di mana kami barisan staf perlu menghadkan pelajar yang terlibat dan memilih mereka yang betul-betul komited.

Masalahnya....biasa la pada mulanya pelajar bila ditemuduga, awalnya sangat bersemangat. Sanggup mendaki gunung yang tinggi untuk mengambil walau sebiji nat. Sanggup meredah lautan bergelora mahupun menyelam di laut dalam untuk mendapatkan sebiji relay. Hehe..

Tapi.......hakikatnya....

Berdasarkan pengalaman aku....rata-ratanya kecundang di suku jalan. (tak sampai tengah pun lagi...huhu). Hanyalah hangat-hangat tahi ayam.

Itulah sebabnya pemilihan ini sangat kritikal sebab kalau tidak siapa yang perlu siapkan robot tu?

Suasana pertandingan paintball robot

Alhamdulillah, pelajar yang dipilih kali ini sangat memberikan komitmen dan begitu komited dalam kerja. Apa yang membuatkan aku senang dengan mereka adalah sikap mereka yang rasional dan boleh menerima teguran. Sebagai contoh bila mana aku menegur mereka tentang kelewatan datang ke bengkel....esoknya....zup!!! Berdiri tegak melolong depan bengkel tepat! Hahaha....

Barisan staf yang membantu juga sangat komited. Sanggup bersama pelajar sehingga ke pukul 3, 4 pagi semata-mata untuk troubleshoot masalah robot. Hehe...terima kasih kawan-kawan. Mata sepanjang sebulan terakhir sebelum pertandingan semua merah-merah. Huhu...

 
Kerjasama!! Dah macam wonderpet. hehe

Hurm....kenapa aku cerita semua ini ya?

Sebab......

Institusi kami dapat tempat ketiga dalam kategori paintball robot!!! Yes yes yes!!! Nak riak ni!!! Hahahaha....

Tak ada la niat nak riak, sebenarnya aku amat teruja dapat nombor tiga. Para pembaca bayangkanlah, kami bertanding bersama universiti-universiti gergasi seperti UPM, UniMAP dan UTHM. Mereka semua ini memang terkenal dengan pendominasian kategori ini. Hehe...sebagai sebuah politeknik, rasanya macam underdog wooo...

Kami pun tak sangka rezeki Allah nak bagi tahun ini sampai naik pentas. Alhamdulillah.

Sememangnya ini merupakan antara kenangan terindah aku di sini. Rasa sangat bangga bila melihat anak didik teruja dan terukir senyuman dek kerana segala penat lelah mereka terbayar.

Terima kasih kepada rakan staf yang membantu....anak didik yang komited dan lucu-lucu, si dia yang memberi aku waktu lalu dan paling utama Allah yang ada membantu selalu.

\(^;^)/

Hehe...sangat gembira!!


Tuesday, March 13, 2012

7 buLan LeBih

Salam buat para pembaca...mahupun yang terbaca. Hehe..

Dalam diam, dah hampir 7 bulan aku tak menulis dalam blog ni...dan sedar tak sedar dah 7 bulan juga lah aku bertahan mata dengan laptop lama yang mana monitornya sakit tua...huhu.

Apapun, alhamdulillah aku baru dapat laptop baharu semalam. Yes!!


Alamak lupa cabut pelekat...hehe...riak ni...astaghfirullah~

Tapi itu la...bila kita dah lama tak buka blog, kemahiran menulis pun akan merudum. Padan muka aku.

Sebagai langkah pertama untuk kembali aktif berblog, aku mulakan dengan penukaran semula wajah blog aku. Hehe...kira macam penstrukturan semula la. Saja nak cari semangat baharu.

Kalau dulu hitam, sekarang warnanya lebih tenang...tak tahulah kalau para pembaca tengok sakit mata tapi aku tengok tenang ja. huhu.

Rasanya itu saja untuk post kali ini. Bahasa aku pun dah tunggang langgang. Haha...jumpa lagi.